PAS Selangor memaklumkan tiada masalah antara pihaknya dengan istana dalam perbincangan berkaitan perayaan Bon Odori, semalam.
Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata mereka dihubungi pihak istana semalam memandangkan Sultan Sharafuddin Idris Shah ingin tahu pendirian PAS terhadap pesta yang akan diadakan di Kompleks Sukan Shah Alam, 16 Julai ini.
“Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori. Baginda memberi pandangan dan kami juga sampaikan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda.
“Kami beritahu Tuanku pendirian kami dan paling penting, kami beritahu baginda bahawa kami menyokong peranan istana dalam menyatukan rakyat. Kami tidak mempunyai masalah antara satu sama lain,” katanya seperti dilapor New Straits Times.
Roslan berkata, pendirian PAS sama seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai perayaan itu.
Semalam, Sultan Sharafuddin menitahkan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Dalam catatan di Facebook Pejabat Diraja Selangor, pertemuan itu berlangsung semalam kira-kira sejam.
Pertemuan itu menyusuli kenyataan Yunus pada 10 Jun lalu yang mengingatkan umat Islam agar tidak mengambil bahagian dalam perayaan Bon Odori.
Sebelum ini Idris memberitahu umat Islam supaya tidak menghadiri Bon Odori kerana mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah meneliti festival itu mempunyai unsur keagamaan lain. – Malaysiapost

