Rozali berhasrat ceburi bidang politik, bawa suara peneroka Felda 

0
1

TOKOH korporat, Tan Sri Rozali Ismail meluahkan hasrat menyertai bidang politik melalui penubuhan parti baharu bagi mewakili generasi peneroka terutamanya penduduk Felda. 

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd itu berkata, hasrat itu timbul selepas mesyuarat agung tahunan Gabungan Wawasan Generasi FELDA (GWGF) semalam. 

“Dalam majlis itu telah diusulkan untuk persatuan ini mengkaji bagi menubuhkan parti Keluarga Felda SeMalaysia yang akan menjadi suara dan naungan kepada masyarakat peneroka. 

“Justeru, usul itu akan dibawa ke majlis tertinggi pengurusan GWGF minggu depan kerana kita mempunyai 17 persatuan di bawah GWGF bagi membincangkan dengan teliti sama ada usul ini dapat dilaksana bagi kebaikan masyarakat Felda dan golongan buruh di Malaysia,” katanya memetik laporan Bernama. 

Jelas Rozali, parti yang dicadangkan itu lebih kepada berdasarkan parti buruh. 

Ini kerana katanya, majoriti penduduk Felda adalah golongan buruh dan penubuhannya bermatlamat untuk membela generasi buruh yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana. 

“Jadi, saya rasa masalah dihadapi generasi Felda hari ini disebabkan banyak program yang dilaksanakan tidak menepati sasaran, seperti penyenaraian Felda yang gagal, cadangan penubuhan Felda sebagai Bank Makanan pun tidak terlaksana, malah pelaburan beratus juta ringgit di luar negara juga gagal,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, terma dan syarat perjanjian tanam semula yang berat sebelah serta masalah buruh yang membebani masyarakat Felda gagal ditangani dengan baik menjadi titik tolak GWGF menubuhkan parti baharu bagi mewakili suara masyarakat peneroka. 

“Sebanyak 54 kawasan Parlimen merupakan kawasan yang majoriti pengundi adalah masyarakat Felda dan saya sebagai Presiden GWGF diminta untuk bertanding terutama di kawasan yang saya telah bangunkan iaitu Felda Bukit Cerakah di Kuala Selangor yang kini dikenali sebagai Bandar Baru Puncak Alam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here