Saya hanya jurulatih kerdil – Pan Gon 

0
1

PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui Malaysia sememangnya memiliki limpahan pemain berbakat dan berkemahiran tinggi.  

Menurut pengendali dari Korea Selatan tersebut, tanpa limpahan itu, tugasnya pasti sukar dalam membentuk corak permainan Harimau Malaya sekali gus menamatkan penantian 42 tahun layak ke Piala Asia 2023. 

Pan Gon berkata, kejayaan menempah ke pentas Piala Asia 2023 bukan hanya kerana dia seorang, tetapi sokongan semua pihak dalam membangunkan bola sepak negara ini. 

“Apabila saya ambil alih pasukan, saya ada dua misi mahu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dan menang Piala AFF. Jika saya ada misi tapi tidak mempunyai foundation yang kuat ia tidak akan menjadi kenyataan. 

“Oleh itu saya ingin berterima kasih kepada pasukan-pasukan Liga Super termasuk TMJ (Tunku Mahkota Johor) yang sentiasa memberi sokongan penuh kepada saya.  

“Saya hanya jurulatih kerdil dan bila saya datang sini saya minta tolong daripada semua pihak dan saya mendapat kerjasama penuh daripada semua pasukan,” katanya.  

Pan Gon berkata demikian dalam sidang media sejurus pasukan negara berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit selepas menewaskan Bangladesh 4-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E, malam tadi.  

Percaya kepada bakat dan kemahiran anak buahnya, Pan Gon menjelaskan, dia mengarahkan Harimau Malaya menggempur kubu Bangladesh sebaik wisel permulaan ditiup pengadil.  

“Di bilik persalinan ketika separuh masa pertama, saya tidak ada cakap apa-apa sebaliknya hanya meminta mereka terus beraksi lebih baik lagi dan beri satu permainan dinamik dan menarik buat penyokong. 

“Saya tahu kita mempunyai attacking power  yang bagus, sebab itu saya gunakan segala yang ada untuk pastikan penyokong puas melihat aksi pasukan negara.” katanya.  

Pan Gon yang berusia 53 tahun turut menghamburkan pujian kepada pemain Ke-12, penyokong terutamanya Ultras Malaya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook FAM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here