Cium tangan PM: Rasulullah ajar hormati pemimpin – Peja 

0
1

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan tindakannya mencium tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai meneladani ajaran Rasulullah.  

Menurutnya, Rasulullah mengajar umatnya agar menghormati serta memuliakan pemimpin yang adil.  

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Timbalan Presiden Bersatu itu berkongsi sepotong hadis berkenaan perbuatannya itu. 

“Teladan memuliakan dan menghormati pada pemimpin sebetulnya sudah diajarkan oleh Rasulullah dalam salah satu hadisnya:

“Daripada Abu Musa dia berkata, bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya termasuk mengagungkan Allah adalah menghormati seorang muslim yang beruban (sudah tua), pembawa Al-Qur’an yang tidak berlebih-lebihan padanya (dengan melampaui batas) dan tidak menjauh (dari mengamalkan) Al-Qur’an tersebut, serta memuliakan pemimpin yang adil.” (HR. Abu Daud No: 7/354),” katanya.  

Beliau berkongsi hadis berkenaan sebagai membalas hantaran Facebook, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.  

Dalam hantaran itu, Ahmad Faizal turut menyindir Asyraf dengan kepsyen ringkas.  

“Saya sentiasa menghormati semangat Keluarga Malaysia, Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula bagaimana?’ 

“P/s: Jangan malu menghormati pemimpin yang baik, mesti jauhi pemimpin rasuah,” katanya.  

Terdahulu, Asyraf Wajdi memuat naik gambar Ahmad Faizal bersalam sambil mencium tangan Perdana Menteri ketika Ismail Sabri hadir menonton aksi Harimau Malaya menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.  

“Gambar paling win malam ni! Bukan senang nak tengok Timbalan Presiden Bersatu merangkap Menteri KBS  YB Faizal Azumu cium tangan Perdana Menteri daripada Umno. Alhamdulillah Malaysia menang 4-1!,” catat Asyraf Wajdi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here