KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR itu mendoakan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya.
“Patik bagi pihak Keadilan mendoakan ke hadrat Allah SWT semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
“Semoga baginda kekal qarar memerintah dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara Malaysia yang tercinta,” katanya.
Menurutnya, beliau dan rakyat akan terus memberikan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan.
“Raja Bertakhta, Raja Disembah. Dirgahayu Tuanku,” katanya. – Malaysiapost

