Dua maut motosikal rempuh papan tanda amaran

0
1

PENUNGGANG dan pembonceng sebuah motosikal maut selepas dipercayai terbabas di Kilometer 11.5 Jalan Banting – Dengkil, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6 pagi itu membabitkan motosikal jenis Yamaha 135LC.

Menurutnya, mangsa menaiki motosikal berkenaan dari arah Dengkil menghala ke Banting sebelum dipercayai hilang kawalan.

“Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai penunggang motosikal hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar papan tanda amaran yang berada di bahu kiri jalan (arah ke Banting).

“Penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 21 tahun manakala pembonceng wanita berusia 16 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan.

“Saksi bebas yang melihat kemalangan atau yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan itu diminta menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian 017-3012621 atau 03-31872222,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here