Kembalikan Universiti sebagai “Brain Trust” utama negara – Ahmad Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

AGENDA universiti perlu disemak kembali agar hasil penyelidikan dan kesarjanaannya lebih banyak dimanfaatkan, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, ia perlu disemak kembali supaya dapat menjadi agen penyelesai masalah-masalah yang sedang dihadapi rakyat atau negara dan bukannya hanya di rak perpustakaan sahaja.

“Jika kita meneliti motto sesetengah universiti tempatan negara. UTM (Universiti Teknologi Malaysia) misalnya, pada jatanya tertera motto “kerana Tuhan, untuk manusia”.

“UPM (Universiti Putra Malaysia) misalnya “berilmu, berbakti” dan sebagainya merupakan cerminan semangat sebenar sesebuah universiti menjadi penyuluh jalan keluar dari permasalahan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, dengan himpitan masalah ekonomi yang menimpa negara, ia memerlukan idea-idea kesarjanaan daripada universiti-universiti di negara ini.

“Bukan itu sahaja, masalah yang dihadapi negara tidak terhenti setakat isu ekonomi, malah masalah sosial dan nilai kemanusiaan masyarakat kita juga semakin terhakis.

“Dalam minggu ini sahaja, telah berlaku dua kejadian pembunuhan kejam – wanita yang mengandung tujuh bulan ditembak bermotifkan cemburu dan seorang ibu yang dicincang lima belas disebabkan sengketa harta pusaka.

“Begitu juga isu pengedaran dadah, masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kesemua itu jelas menunjukkan betapa pentingnya peranan universiti di Malaysia dalam memberi saranan yang serius kepada pemerintah atau ulil amri dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan negara.

“Kita tahu sudah banyak penyelidikan telah dan sedang dijalankan oleh ahli akademik di universiti. Sudah tiba masanya, penemuan mereka diketengahkan secara strategik bagi memberikan impak besar dan menyeluruh negara dalam membantu menangani pelbagai isu ekonomi, pembangunan, kebudayaan, politik dan sosial negara.

“Banyak idea kreatif, inovasi dan gagasan-gagasan penting perlu dimanfaatkan oleh penggubal kerajaan, pihak industri dan masyarakat sesuai untuk menjadikan universiti sebagai ‘Brain Trust’ utama negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here