PBM gesa perkenal kursus integriti, anti-rasuah di sekolah rendah

0
1

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) digesa memperkenalkan kursus integriti dan anti-rasuah di sekolah rendah bagi memupuk murid di peringkat sekolah rendah menjauhi amalan rasuah.

Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM) Nor Hizwan Ahmad berkata, adalah lebih mudah untuk memupuk murid di peringkat sekolah rendah supaya menjauhi amalan rasuah kerana mereka masih dalam usia pembentukan.

Beliau berpandangan, mungkin sudah terlambat jika kursus anti-rasuah itu dijadikan sebagai subjek wajib kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Mereka yang berusia lewat remaja atau awal 20-an kebiasaannya lebih sukar menerapkan nilai seperti menolak rasuah.

“Walaupun mereka menduduki mata pelajaran ini di universiti atau mendapat markah yang cemerlang, tidak bermakna mereka akan menghindari gejala merosakkan ini.

“Ini hanya bermakna mereka mempunyai pemahaman teori tentang subjek ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, adalah lebih mudah untuk membentuk minda yang masih mentah dan jika murid sekolah rendah didedahkan kepada subjek itu, kemungkinan besar mereka akan dapat menyerap pengajaran dengan lebih baik.

“Selain pembaharuan institusi, salah satu elemen penting dalam memerangi rasuah adalah mengubah minda rakyat rakyat Malaysia, yang sebahagiannya masih merasakan rasuah adalah sebahagian daripada ‘budaya’ kita atau amalan yang ‘boleh diterima’.

“Untuk mengubahnya, kita perlu mempunyai rancangan jangka panjang dan ini termasuk kempen pendidikan awal mengenai perangkap rasuah,” katanya.

Sabtu lalu, Jawatankuasa Khas Jemaah Menteri mengenai Anti-Rasuah memutuskan kursus integriti dan anti-rasuah akan diwajibkan di semua IPT bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, kursus itu akan menjadi pembelajaran berstruktur bagi membolehkan pelajar lebih memahami rasuah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here