Kerajaan serius lindungi rakyat daripada beban kenaikan harga barang – PM

0
1
ismail sabri

KERAJAAN sedang melakukan beberapa langkah jangka sederhana dan panjang bagi melindungi rakyat daripada beban kenaikan harga dan menstabilkan bekalan barang yang dihadapi seluruh negara ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah susulan daripada pelan jangka pendek diumumkan kerajaan sebelum ini akibat kesan perkembangan global terkini yang menjejaskan bekalan makanan hingga berlakunya kenaikan harga bahan makanan.

Beliau berkata, kerajaan sebelum ini mengumumkan lima pelan jangka pendek menghadapi situasi tersebut antaranya membatalkan kelulusan kuota import (AP) barangan makanan dari luar negara serta-merta, menyekat pengeksportan ayam ke luar negara dan memperkenal bantuan kewangan secara terus kepada rakyat terutamanya golongan B40 mulai 1 Julai ini.

“Lima langkah jangka pendek ini adalah pendekatan Kerajaan Tuanku dalam melindungi seluruh Keluarga Malaysia daripada beban kenaikan harga barangan selain pelbagai subsidi yang dijangka mencecah RM71 bilion tahun ini.

“Langkah jangka pendek ini disusuli dengan beberapa langkah jangka masa sederhana dan jangka masa panjang untuk menstabilkan bekalan dan harga makanan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap Sembah Tahniah bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini khususnya isu bekalan makanan dan kenaikan harga bahan makanan yang pastinya menjejaskan kesejahteraan rakyat.

“Mutakhir ini dunia sedang berdepan dengan pelbagai ancaman antaranya ketidaktentuan global akibat ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia. Kemelut yang berlaku ini telah memberi dampak kepada dunia dan Malaysia tidak terkecuali menerima tempiasnya.

“Krisis ekonomi yang berlaku akibat pandemik dan kini konflik Rusia-Ukraine mengakibatkan Malaysia, rantau Asia juga rantau lain di dunia mendapat bahananya. Rantaian bekalan global yang terjejas akibat fenomena ini telah menyebabkan harga bahan makanan dunia meningkat melebihi 30 peratus dan kesan ini turut dirasai di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, usaha kerajaan memulihkan ekonomi pasca pandemik semakin berhasil dan berada pada momentum terbaik apabila ekonomi negara mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada 2021 berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, kerajaan kini tekad memacu ekonomi mencapai pertumbuhan antara 5.3 peratus sehingga 6.3 peratus seperti diunjurkan di samping pembukaan sempadan sekali gus mampu merancakkan pemulihan ekonomi khususnya sektor pelancongan menerusi peningkatan kemasukan dua juta pelancong asing dan bakal menyumbang pendapatan sebanyak RM8.6 bilion. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here