ENAM individu termasuk tiga warga asing ditahan dalam dua serbuan di Senai, Johor oleh Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Johor kelmarin yang turut merampas pelbagai jenama arak dan rokok tidak bercukai dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.13 juta.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA Superintendan Mohd Razali Melin, berkata serbuan dijalankan jam 9.30 pagi Sabtu lalu di dua lokasi berasingan yang beralamat di No 24 Jalan Anak Bukit 2 dan di No 11 Jalan Anak Bukit 1, di Palm Resort, Senai.
Menurutnya, serbuan itu berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 28 hingga 31 tahun dan dua lelaki warganegara asing berusia 31 dan 60 tahun serta seorang wanita warga asing berusia 33 tahun.
“Hasil siasatan awal terhadap semua suspek, mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi selama lebih empat tahun dan beberapa siri tangkapan telah dilakukan ke atas sindiket berkenaan sebelum ini, namun masih meneruskan operasi penyeludupan.
“Dipercayai juga, suspek lelaki warganegara asing yang berusia 60 tahun yang ditahan adalah ketua atau dalang utama dalam sindiket berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan yang dibuat itu berjaya memutuskan sindiket pengedaran rokok dan arak tidak bercukai disekitar daerah Kulai dan Johor Bahru.
Beliau berkata, selain pelbagai jenama arak dan rokok tidak bercukai, turut dirampas adalah wang tunai sebanyak lebih RM100,000 dan pelbagai kenderaan termasuk Toyota Harrier dan BMW X6.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1,130,282 dan kes kini disiasat mengikut Akta Kastam 1967, manakala tangkapan serta rampasan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut.
“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian Hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” katanya. – Malaysiapost



