‘Matlamat dan cita-cita dia satu sahaja’ – Najib

0
2

DATUK Seri Najib Razak mendakwa ‘geng’ Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) masih cuba memainkan propaganda bahawa Presiden parti berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 2014 adalah disebabkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, berkata perkara itu sudah dijelaskan dan ditunjukkan bukti bahawa Muhyiddin dipecat bukan kerana 1MDB tetapi kerana berkomplot untuk menumbangkannya.

Dalam hantaran terbaharu di Facebook pada Isnin, Najib secara sinis mendakwa Muhyiddin sememangnya berhasrat untuk kembali menjadi pemimpin nombor satu negara.

Malah katanya, bagi ‘menutup’ dakwaan itu, ‘geng’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cuba memainkan propaganda bahawa Muhyiddin dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 2014 disebabkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya perhati ada komen-komen dari geng PPBM (Bersatu) yang masih cuba mainkan propaganda bahawa Muhyiddin dipecat sebab 1MDB.

“Dah banyak kali saya jelaskan dan tunjukkan bukti bahawa Muhyiddin dipecat sebagai TImbalan PM pada tahun 2014 sebab dia sudah berkomplot dengan Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) sejak tahun 2014 untuk tumbangkan saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Najib turut menegaskan, bahawa Muhyiddin dipecat oleh jawatankuasa Umno kerana berkempen atas pentas yang sama dengan Pakatan Harapan (PH) di acara ”Selamatkan Malaysia”.

“Tapi geng PPBM-PN (Perikatan Nasional) tak percaya. Tak apalah. Anggap dia dipecat sebab 1MDB,” katanya.

Beliau bagaimanapun membangkitkan beberapa persoalan berhubung tindakan dilakukan Muhyiddin yang dilihat tiada kaitan dengan 1MDB.

“Adakah dia khianat Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi sebab 0MDB? Dia naik jadi Timbalan Presiden dan Timbalan PM. Adakah dia tikam belakang Najib sebab 1MDB? Dia nak jadi PM tapi tak berjaya.

“Adakah dia khianat Mahathir dan PH sebab 2MDB? Kali ini dia berjaya jadi PM. Adakah dia derhaka pada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu sebab 3MDB? Kali ini dia tak berjaya kekalkan jawatan PM.

“Adakah dia melutut kepada geng PH dalam cubaan dapat sokongan 119 ahli parlimen secara senyap untuk khianat dan tumbangkan Ismail sebab 4MDB? Nampaknya kali ini juga dia masih tak berjaya untuk kembali sebagai PM. Nampak belum?” soalnya sinis.

Menurutnya, pemecatan Muhyiddin sebelum ini tidak berkaitan dengan 1MDB tetapi kerana cita-citanya yang kini sudah diketahui ramai.

“Matlamat dan cita-cita dia (Muhyiddin) satu sahaja. Kamu tahu dan kami pun dah lama faham.

“Jika tidak, kenapa pula dia kumpul semua ‘katak’ dengan ‘scheme of things’ untuk memimpin sebuah parti yang bahagian besarnya terdiri daripada ‘katak’ politik?” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here