YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah agar kerajaan dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik, harus berusaha merencana pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan.
Seri Paduka Baginda bertitah, pemulihan dan kebangkitan negara yang diimpikan tidak mungkin akan menjadi realiti jika berpecah-belah dan gagal untuk mewujudkan landskap kehidupan yang stabil.
Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa bersyukur dengan landskap pandemik Covid-19 yang semakin pulih.

“Sektor ekonomi dan kehidupan seharian rakyat beta juga telah menampakkan pemulihan bermula dari pembukaan semula sempadan negara pada 1 April 2022 yang lalu.
“Beta juga berasa amat suka cita melihat rakyat beta dari berbilang bangsa dan agama menyambut kedatangan 1 Syawal dengan suasana yang penuh kemeriahan dan kegembiraan.
“Sewajarnya kita semua melafazkan rasa syukur kerana telah berupaya kembali menikmati kehidupan seharian yang sebelum ini terjejas akibat pandemik,” titahnya sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, hari ini.
Seri Paduka Baginda bertitah, hakikatnya bukanlah merupakan suatu perkara yang mudah untuk mengemudi negara keluar dari kesan pandemik Covid-19.
“Pada hemat beta; pengurusan negara dalam era pasca pandemik memerlukan suatu rencana yang bitara mencakupi pelbagai sektor dan aspek kehidupan.
“Bagi menempuh gelora masa hadapan; kerajaan beta dan semua pihak tanpa mengira fahaman politik; hendaklah berusaha merencana pelan jangka panjang bagi membawa negara kembali ke persada kejayaan,” titahnya.
Titahnya, pada masa sama; rakyat perlu turut berperanan dalam mendokong usaha-usaha murni kerajaan di samping terus berusaha untuk mendepani sebarang cabaran.
“Natijahnya; pemulihan negara memerlukan simbiosis yang erat antara kerajaan dan rakyat beta.
“Perpaduan dan kebersamaan dalam sebuah masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang; adalah sebenarnya merupakan resepi dan kekuatan dalam membentuk aspirasi nasional.
“Ia adalah merupakan tiang kemakmuran negara dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah turut mengajak pemimpin negara dan anggota perkhidmatan awam untuk terus berkhidmat setulus hati dalam menentukan sosio ekonomi rakyat terus dilindungi dan dibantu demi kelangsungan hidup.
“Beta turut ingin berpesan kepada rakyat yang beta kasihi; untuk berterusan menyokong usaha-usaha dan dasar kerajaan agar program yang digubal dapat dinikmati oleh semua.
“Sebagai rakyat Malaysia; kita semua perlu berganding bahu dan menggalas tanggung-jawab masing-masing; ibarat kata pepatah “ke bukit sama didaki; ke lurah sama dituruni”.
“Beta dan Raja Permaisuri Agong akan terus mendoakan agar semua usaha-usaha ini diberi keberkatan oleh Allah SWT dan dipermudahkan dalam mencapai hasrat yang diidamkan,” titahnya. – Malaysiapost

