POLIS tidak menolak kemungkinan tragedi menimpa wanita mengandung tujuh bulan yang ditemui mati dengan kesan tembakan di perut dalam sebuah kereta di tepi jalan Kampung Repek, Pasir Mas, Kelantan, semalam bermotifkan cemburu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata bagaimanapun pihaknya akan menyiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau berkata, sehingga kini pihaknya sudah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun bagi membantu siasatan dan suspek berkenaan ada hubungan dengan mangsa.
“Setakat ini macam-macam kemungkinan motif kejadian dan salah satunya adalah cemburu. Kita akan menyiasat secara menyeluruh termasuk mengambil keterangan daripada saksi supaya apa yang kita jangkakan adalah benar.
“Justeru, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan polis selesai.
“Suspek yang ditahan kini direman lima hari bermula hari ini sehingga Khamis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada mangsa ditembak di lokasi kejadian penemuan mayat atau ditembak di lokasi lain.
“Ada dua kemungkinan mungkin mangsa ditembak di tempat lain, namun mangsa memandu sehingga di lokasi kejadian atau mangsa sememangnya ditembak di lokasi berkenaan.
“Jarak rumah mangsa dengan lokasi kejadian adalah 15 kilometer sahaja. Berdasarkan percakapan ibu mangsa, wanita berkenaan keluar untuk mengurut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya percaya suspek menggunakan pistol separa automatik .38 berdasarkan penemuan kelongsong peluru.
Terdahulu, wanita mengandung ditemukan mati dengan kesan tembakan di perut di Kampung Repek, di Pasir Mas, Kelantan petang semalam.
Mangsa berusia 26 tahun yang mengandung tujuh bulan ditemui jam 4 petang oleh orang awam sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.
Wanita itu yang bekerja sebagai peniaga ditemui di bahagian di tempat duduk pemandu. – Malaysiapost
Kredit Foto: Sinar Harian

