Cadangan laksana semula GST masih di peringkat kajian – PM

0
1

PELAKSANAAN semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) masih di peringkat kajian dan kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan mengkaji aspek pelaksanaan semula GST secara menyeluruh, khususnya sama ada sistem percukaian itu akan melonjakkan harga barang serta tempoh sesuai jika ia akan dilaksanakan.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak bertenang dan tidak melatah dalam soal pelaksanaan semula GST dan berjanji mendedahkan perkara itu secara telus apabila tiba masanya.

“Ramai terus melompat apabila saya kata tidak menolak kemungkinan (mengembalikan GST), tapi saya kata kita perlu kaji buruk dan baiknya. Bukan saya umum akan laksanakan GST.

“Banyak pertimbangan lagi akan kita tengok, antaranya adakah kesan daripada GST akan mengakibatkan kenaikan harga, serta adakah waktunya sesuai untuk dilaksanakan atau perlu berapa tahun lagi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri dalam wawancara khas bersama kumpulan media Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini dilaporkan berkata, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara, dan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikannya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan antara faktor utama pertimbangan pelaksanaan semula GST adalah kerana kerajaan berdepan pengurangan pendapatan ketara selepas beralih kepada SST.

“Kita kekurangan pendapatan sebanyak RM30 bilion setahun kerana berpindah daripada GST kepada SST,” katanya.

Menurutnya, sekiranya kerajaan memutuskan untuk mengubah sistem percukaian negara, beliau memberi jaminan akan memastikan rakyat memahami sepenuhnya sistem baharu yang akan menggantikan SST.

“Kalau kita rasa SST sudah tidak sesuai, apa yang kita nak gantikan dan rakyat perlu difahamkan dahulu. Kita nak apa yang diumumkan diterima rakyat, bukan ditolak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here