SEBUAH pusat hiburan di Damansara Utama dikesan masih berdegil dan meneruskan operasi walaupun sudah beberapa kali diserbu serta dikenakan tindakan kerana beroperasi tanpa lesen.
Terbaharu premis berkenaan diserbu sekali lagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada jam 1.30 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata seramai 70 lelaki dan 34 wanita diperiksa, namun didapati tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau atau dalam senarai dikehendaki.
“Pemeriksaan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti hiburan tanpa sebarang lesen hiburan yang sah dan polis bertindak merampas kesemua peralatan muzik di premis terbabit.
“Premis hiburan berkenaan pernah diserbu beberapa kali oleh pasukan polis IPD Petaling Jaya sepanjang 2021 menerusi operasi Op Noda Khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pelbagai tindakan undang-undang juga berjaya diambil sebelum ini membabitkan kesalahan menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen yang sah, beroperasi lebih waktu dibenarkan dan menjual minuman keras tanpa lesen.
“Tindakan akan terus dijalankan terhadap pengusaha premis hiburan yang tidak mematuhi peraturan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan tiada sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.
“Polis Petaling Jaya mengalu-alukan sebarang maklumat berkenaan pelanggaran undang-undang boleh disalurkan kepada IPD Petaling Jaya,” katanya. – Malaysiapost




