PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan beliau tidak mahu mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan mengumumkan terlebih dahulu tarikh Pilihan raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau menegaskan, walaupun keputusan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah budi bicara beliau, kata putus terakhir mengenainya masih di tangan baginda.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan DAP yang membuat desakan mengenai tempoh pelaksanaan PRU-15 seolah-olah tidak menghormati peranan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Pelaksanaan PRU akan dibincangkan dengan lima pimpinan tertinggi Umno, dibawa ke Biro Politik Majlis Tertinggi Umno dan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), sebelum bincangkan di dalam Kabinet.
“Kabinet (kemudian) akan berikan mandat kepada saya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menasihati baginda, namun kuasa terakhir adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan pelancaran sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu, Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang menyifatkan Perdana Menteri menyampaikan mesej ‘flip-flop’ berkenaan pelaksanaan PRU-15.
Loke mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri yang mengatakan pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana isu kos sara hidup rakyat perlu ditangani, namun dalam Konvensyen BN menegaskan tidak akan menunggu lebih satu saat untuk membubarkan Parlimen jika BN sudah bersedia.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, dalam Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong boleh bersetuju atau menolak nasihat pembubaran jika baginda tidak bersetuju.
“Saya tak boleh nyatakan tarikh sebenar kerana itu mengambil alih kuasa baginda.
“Itu salah dari segi Perlembagaan kalau saya tetapkan tarikh kerana kuasa adalah pada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil dan membubarkan Parlimen.
“Sikap DAP mungkin mereka tidak hormat Yang di-Pertuan Agong, tapi saya menghormati baginda dan saya patuh pada Perlembagaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan bukan perkara pelik apabila beliau tidak mengumumkan tarikh PRU secara terperinci, memandangkan ia amalan kebiasaan mana-mana Perdana Menteri termasuk ketika Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Cuba kamu semak kenyataan Perdana Menteri terdahulu, ada atau tidak yang menetapkan tarikh PRU. Kalau tanya Dr Mahathir waktu itu, dia kata belum dapat ilham.
“Kalau saya beritahu lebih awal, seronoklah DAP. Mereka boleh bersiap sedia lebih awal,” katanya. – Malaysiapost

