Agong zahir ucapan tahniah kepada Ratu Elizabeth II

0
1

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ratu Great Britain, Baginda Ratu Elizabeth II, atas sambutan Jubli Platinum yang bermula pada hari Khamis lalu sempena ulang tahun ke-70 Baginda bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

Ucapan itu dizahirkan baginda dalam satu hantaran yang di laman Facebook Istana Negara hari ini.

Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa suka cita atas sambutan yang bersejarah itu dan juga kerana Baginda Ratu Elizabeth II dikurniakan kesihatan yang baik serta usia yang panjang menjadikan Baginda sebagai Ratu paling lama memerintah dalam sejarah Britain.

“Seri Paduka Baginda menyifatkan Baginda Ratu Elizabeth II sebagai pemerintah yang prihatin terhadap kebajikan rakyat dan berdedikasi berkhidmat kepada rakyat Britain dan juga Komanwel.

“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga Baginda Ratu Elizabeth II dikurniakan keafiatan yang berpanjangan, kebijaksanaan dan kekuatan untuk terus bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan semoga hubungan dua hala sedia ada yang rapat serta mesra antara Malaysia dan Britain akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” menurut hantaran itu.

Mengimbas kenangan hubungan mesra antara kedua-dua negara dan para pemimpinnya, Seri Paduka Baginda dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong pada 13 Disember 2019 telah berkenan berangkat membuat kunjungan hormat dan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama Baginda Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, London.

Kunjungan hormat dan majlis santapan tengah hari itu bersempena Lawatan Khas tujuh hari Seri Paduka Baginda berdua ke England, bermula pada 9 Disember 2019.

Dalam lawatan itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan melawat Westminster Abbey yang merupakan salah satu tempat ibadat tersohor di United Kingdom dan juga menjadi tempat pemahkotaan serta pengebumian tradisional untuk raja-raja Inggeris.

Selain itu, terdahulu pada 10 September 2019, Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan menerima menghadap Earl of Wessex, Yang Amat Mulia Putera Edward, di Istana Negara sempena lawatan dua hari ke Malaysia, menghadiri Persidangan Serantau Asia Pasifik Duke of Edinburgh International Award dalam kapasitinya selaku pemegang amanah Yayasan Duke of Edinburgh’s International Award.

Baginda Ratu Elizabeth II, sepanjang pemerintahan Baginda, telah melawat Malaysia pada tahun 1972 (Lawatan Khas), 1989 (Mesyuarat Ketua Negara Komanwel ke-11) dan 1998 (Temasya Sukan Komanwel ke-16).

Selain Baginda Ratu Elizabeth II dan Yang Amat Mulia Earl of Wessex, kerabat Diraja Britain yang telah mengadakan lawatan ke Malaysia adalah pasangan Diraja Duke dan Duchess of Cambridge, Yang Amat Mulia Putera William dan Catherine, pada tahun 2012 dan pasangan Diraja Prince of Wales dan Duchess of Cornwall, Yang Amat Mulia Putera Charles dan Camilla, pada tahun 2017.

Pasangan Diraja Duke dan Duchess of Cambridge pada tahun 2012 telah mengadakan lawatan dua hari ke Sabah, mewakili Baginda Ratu Elizabeth II sempena sambutan ulang tahun ke-60 pemerintahan Baginda.

Manakala, pasangan Diraja Prince of Wales dan Duchess of Cornwall telah mengadakan lawatan tujuh hari ke Malaysia pada tahun 2017 sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan dua hala antara Malaysia dan United Kingdom. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here