Pekerja tidak terima gaji minimum RM1,500 perlu perjuangkan hak – Syed Saddiq

0
1

PEKERJA yang dinafikan hak untuk menerima gaji minimum RM1,500 digesa supaya bertindak memperjuangkan hak mereka.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman, berkata golongan tersebut mesti mengemukakan aduan kepada Kementerian Sumber Manusia dan menuntut hak mereka.

“Ini hak kamu, kamu kena tuntut hak kamu, kalau kamu tak berani ramai juga tak berani.

“Sebab itu kena ada gelombang (buat aduan),” katanya dalam satu video di Facebook, semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan telah meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata bagaimanapun Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendakwa ramai pembersih kontrak dan pengawal keselamatan di sekolah kerajaan masih belum menerima gaji minimum RM1,500.

Katanya, majikan golongan pekerja itu memberikan alasan antaranya kontrak antara mereka dan kerajaan masih lagi berdasarkan gaji minimum lama.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, berkata pekerja yang mengadu kepadanya juga diberikan alasan sama oleh majikan mereka.

Majikan lain, ujarnya, mendakwa mereka tidak perlu mengikut arahan kerajaan.

Pada masa ini, hanya perusahaan mikro dengan perolehan jualan tahunan di bawah RM300,000 dan menggaji tidak lebih daripada lima pekerja sepenuh masa dikecualikan daripada gaji minimum baharu.

Selain pekerja yang membuat aduan, Syed Saddiq berkata kerajaan juga perlu proaktif untuk menyesuaikan kontrak dengan syarikat yang diambilnya untuk perkhidmatan keselamatan dan pembersihan, selaras pelaksanaan gaji minimum baru.

Dalam masa sama, Syed Saddiq menegaskan kepada majikan bahawa kenaikan gaji minimum tidak boleh diimbangi dengan pemotongan elaun.

Katanya, syarikat juga tidak mempunyai sebab untuk mengimbangi kos dengan memecat pekerja, terutama mereka yang telah lama dilatih.

“Saya yakin gaji yang lebih baik akan membawa kepada produktiviti yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya lagi, secara keseluruhannya, nisbah gaji kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada pada 20-25 peratus, atau 20-25 sen setiap RM1, berbanding 40-45 peratus di negara maju. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here