298 jemaah kumpulan pertama berlepas ke Tanah Suci hari ini

0
1

SERAMAI 298 jemaah menjadi kumpulan haji pertama Malaysia bagi musim 1443H/2022 berlepas ke Tanah Suci hari ini.

Selepas dua tahun ibadah haji tertangguh akibat pandemik Covid-19, penerbangan pertama hari ini akan berlepas jam 1.35 tengah hari dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menggunakan penerbangan Saudi Airlines.

Penerbangan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah pada jam 4.55 petang (waktu Arab Saudi), lapor Berita Harian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meluangkan masa menyantuni jemaah terpilih mengerjakan rukun Islam kelima itu dalam satu majlis mengucapkan selamat jalan di Pusat Konvensyen Movenpick, pagi ini.

Beliau sempat beramah mesra, bertanya khabar selain memberi kata-kata semangat serta nasihat kepada bakal jemaah haji.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan.

Jemaah akan dibawa menaiki lapan bas disediakan Tabung Haji untuk ke KLIA.

Sementara itu Amrin dalam kenyataannya, memaklumkan berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang bersetuju meneruskan semula projek ‘Makkah Route’ untuk memudahkan proses pra-pelepasan pemeriksaan Jabatan Imigresen dan kastam di KLIA.

“Jemaah Malaysia tidak perlu lagi melalui proses imigresen semasa tiba di Arab Saudi dan boleh menaiki bas terus ke hotel penginapan masing-masing dan ini menjimatkan masa semua jemaah,” katanya.

Pada tahun ini, sebanyak 48 penerbangan Malaysia Airlines dan Saudi Airlines yang akan membawa jemaah haji negara seramai 14,306 orang ke Tanah Suci.

Bagi kuota jemaah, TH memberi keutamaan kepada bakal haji yang tersenarai menunaikan ibadat itu pada tahun 2020, diikuti 2021 serta seterusnya, berdasarkan sistem pendaftaran berasaskan prinsip sebelum ini dalam memenuhi kuota jemaah yang diterima tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here