PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggesa kerajaan mempertimbangkan semua aspek dengan sewajarnya sekiranya ingin melaksanakan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Tegas Abdul Hadi, sebarang keputusan yang diambil perlu mengambil kira kebajikan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
“Jangan kenakan cukai terhadap barangan asasi, rakyat sudah terhimpit dengan pelbagai kenaikan kos hidup yang berlaku sekarang.
“Pertimbangkan ia dengan cara yang saksama iaitu kesannya terhadap bebanan rakyat dan tanggungjawab kerajaan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST, sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.
Ismail Sabri mengakui kerajaan mempertimbangkan beberapa tindakan ekonomi yang mungkin dilihat pengguna sebagai menambah beban kos sara hidup mereka, iaitu memperkenalkan semula GST. – Malaysiapost

