DATUK Seri Najib Razak menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kenyataan terbaharunya yang menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa menjadi punca Ahli Parlimen Langkawi itu tidak dilantik semula sebagai Perdana Menteri.
Menurut Najib, jika sebelum ini Dr Mahathir seringkali menyalahkannya dalam apa juga perkara, kali ini giliran Anwar yang juga Presiden PKR.
“Mula-mula, salah Najib. Lepas itu, salah Muhyiddin (Yassin). Akhirnya salah Anwar. (Jahat betul Anwar tumbangkan PH),” sindir Najib menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, Dr Mahathir menyalahkan Anwar yang didakwa menyebabkan beliau gagal menjadi Perdana Menteri susulan ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020.
Pengerusi Parti Pejuang itu berkata, selepas meletak jawatan pada 24 Februari 2020, Yang di-Pertuan Agong perlu melantik Perdana Menteri baharu yang mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
“Kalau tak sabit dia (Anwar), saya hari ini jadi Perdana Menteri. Pasal bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 222 Ahli Parlimen tulis siapa yang mereka pilih. Saya fikir PH (Pakatan Harapan) akan letak nama sayalah, pasal saya daripada PH.
“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, tapi dia orang (PH) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62, bukan daripada PH, daripada parti lain, orang lain saya tak tahu siapa.
“Kalau saya dapat 62, kalau saya juga dapat 92 daripada PH, saya dapat 154, saya jadi Perdana Menterilah. Tapi dia bagi saya kalah, dia pun kalah,” katanya. – Malaysiapost

