WAKIL rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah hari ini memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak bagi menuntut 40 peratus daripada hasil bersih yang diperolehi Kerajaan Persekutuan dari Sabah setiap tahun.
Menurut kenyataan bersama, seramai enam Ahli Parlimen serta tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah telah memulakan tindakan sebagai plaintif dan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai Defendan Pertama dan kerajaan negeri Sabah sebagai Defendan Kedua.
“Dengan pengumuman baru-baru ini pada 14 April 2022 oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah bahawa persetujuan telah dicapai untuk semakan semula dibuat berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Tetapi semalam tersebut tidak berdasarakn kepada asas dan pengiktirafan hak 40 peratus Sabah. Persetujuan ini telah mengecewakan setiap rakyat Sabah,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu daripada Ahli Parlimen Tawau dan ADUN Api-Api, Datuk Christina Liew; Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Selain itu, Peto Galim (ADUN Inanam); Datuk Frankie Poon Ming Fung (ADUN Tanjung Papat) Jannie Lasimbang (ADUN Kepayan); Phoong Jin Zhe (ADUN Luyang); Tan Lee Fatt (ADUN Likas) dan Ewon Benedict (ADUN Kadamaian).
Menurut kenyataan itu, pendedahan pendirian Kerajaan Persekutuan baru-baru ini oleh Menteri Kewangan di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah tidak lagi terpakai adalah jelas melanggar Perjanjian Malaysia 1963.
“Kita tidak boleh lagi membiarkan pelanggaran hak perlembagaan rakyat Sabah yang berterusan,” katanya.
Mereka berkata, sewaktu Sabah bersetuju dengan pembentukan Malaysia, banyak terma khas yang diperuntukkan kepada Sabah tidak terdapat pada 11 negeri Semenanjung yang lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.
“Kedudukan istimewa ini berpunca daripada pelbagai sebab dan salah satunya adalah kerana keadaan Sabah yang masih jauh terbelakang dari segi Pembangunannya pada ketika itu.
“Namun selepas hampir 59 tahun Malaysia ditubuhkan, telah dilaporkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) oleh Kerajaan Persekutuan sendiri bahawa daripada sepuluh daerah termiskin di Malaysia, lapan daripadanya adalah di Sabah.
“Dilaporkan lagi bahawa pada 2019, insiden kemiskinan mutlak di Sabah adalah 19.5 peratus dan 9 peratus di Sarawak, iaitu melebihi paras kebangsaan 5.6 peratus,” katanya.
Sehubungan itu, kata mereka, Sekiranya 40 peratus hak Sabah dihormati dan diberikan, setiap rakyat Sabah hari ini akan merasai kualiti hidup yang lebih baik dari segi ekonomi dan sosial.
“Jadi, sudah tiba masanya kehilangan dan pelanggaran hak Perlembagaan kita yang berterusan ini dibawa ke mahkamah untuk diadili dan diselesaikan,” katanya. – Malaysiapost

