
CALON Naib Presiden PKR yang tewas, Farhash Wafa Salvador menggesa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menyegerakan audit forensik pemilihan parti sebelum Kongres Nasional PKR pada 25 dan 26 Jun ini.
Beliau berkata, sekiranya perkara itu tidak dilakukan, perwakilan di Kongres Nasional akan terdiri dari mereka yang belum sah yang akan mengundi dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), sekali gus akan menimbulkan kecelaruan.
“Tidak perlu lagi ditangguh, kerana ia akan menjejaskan Kongres Nasional yang dijadualkan pada 25-26 Jun ini,
“Sedangkan Pengerusi JPP Dr Zaliha Mustafa telah mengumumkan bahawa keputusan rasmi Pemilihan Parti hanya akan disahkan juga pada 25 dan 26 Jun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau menggesa siasatan dan audit forensik terhadap keputusan Pemilihan Parti 2022 disegerakan supaya keputusan rasmi dapat disahkan sebelum Kongres Nasional.
Katanya, jika tidak, berliau mencadangkan adalah lebih adil untuk Kongres Nasional ditunda sehingga perwakilan terdiri daripada mereka yang sah.
“Ruang juga harus diberikan untuk tindakan susulan selepas audit forensik dan siasatan telah lengkap,” katanya.
Beliau berkata, audit forensik itu perlu dilaksanakan dengan kadar segera termasuk kiraan semula undi-undi di hadapan saksi dari calon atau wakil mereka.
“Jika benar ada berlaku manipulasi dan penipuan, parti harus berlaku adil dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka-mereka yang terbabit, selain membetulkan keputusan mengikut suara sebenar anggota di seluruh negara.
“Jika didapati tiada apa-apa salahlaku, kita semua harus berlapang dada menerima keputusan.
“Apapun kesudahan episod ini, kini jelas perubahan perlu berlaku dalam struktur dan proses Pemilihan Parti pada masa hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Farhash Wafa berkata, PKR tidak boleh lagi mengamalkan proses yang dilihat tidak telus serta terdedah kepada manipulasi dan penipuan.
“Sedangkan di luar parti kita memperjuangkan ketelusan dalam segala aspek pentadbiran.
“Seperti dilaporkan, hampir 900 aduan ke atas sistem Pemilihan Parti diterima JPP dan keputusan yang diumumkan pada 29 Mei lalu berhadapan bantahan dari majoriti besar dari 222 cabang PKR di seluruh negara.
“Nyata, saya tidak keseorangan dalam membangkitkan keraguan yang amat tinggi terhadap keputusan yang kami anggap tidak munasabah,” katanya. – Malaysiapost
