Norman KRU tak minat sertai politik

0
1

TIDAK seperti segelintir rakan artis lain yang aktif berpolitik, Datuk Norman Abdul Halim pula mengambil pendirian berbeza.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment itu menegaskan tidak berminat, apa lagi mahu menceburi bidang politik serta bertanding pelbagai jawatan.

“Saya memang tak minat sertai politik dan cukuplah jadi penyokong saja. Lagipun saya ada ramai kenalan ahli politik pelbagai parti dan didapati tanggungjawab serta amanah yang digalas mereka sangat besar.

“Bukan mudah untuk menjadi pemimpin dalam masyarakat. Cukup untuk saya jadi penyokong saja dan tidak terfikir langsung untuk bertanding jawatan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Mengenai penglibatan segelintir penggiat seni dalam politik dan bertanding untuk jawatan, Norman berkata, itu hak masing-masing dan terserah kepada mereka yang membuat keputusan.

“Bagi saya, pembabitan penggiat seni atau selebriti dalam politik, itu pilihan mereka. Saya percaya, masing-masing pasti ada agenda dan hala tuju politik mereka,” katanya.

Beliau juga mencadangkan penggiat seni yang mahu menceburi politik supaya bermula dari bawah iaitu bertanding merebut jawatan ahli jawatankuasa (AJK) biasa terlebih dahulu.

“Pastikan juga lebih tahu dan memahami masalah masyarakat. Tak perlu lebih fikirkan perjuangan untuk industri hiburan dulu sebab masyarakat biasa berhadapan pelbagai masalah lain yang lebih serius untuk diselesaikan,” katanya.

Baru-baru ini, penerbit dan pengarah filem, Datuk Afdlin Shauki tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.

Begitu juga Datuk Hans Isaac dan Altimet tewas dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Ampang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here