Nilam Oshman
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dimansuhkan mulai tahun ini dan digantikan dengan pengukuhan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, PBS diperkasa melalui tiga komponen utama iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).
“Komponen pertama, PBD iaitu Pentaksiran Bilik Darjah. Kedua adalah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Ko-kurikulum (PAJSK) serta ketiga, PPSI iaitu Pentaksiran Psikometrik.
“PBS diperkenalkan di sekolah rendah pada 2011 dan sekolah menengah pada tahun 2012, telah ada garis panduan berkaitan dengan PBS termasuklah Pentaksiran Bilik Darjah,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Radzi berkata, PBD sepertimana yang dijelaskan dalam garis panduan yang dikeluarkan pada 2019 oleh KPM, mempunyai dua komponen iaitu pentaksiran yang membentuk formatif dan sumatif.
“Formatif ini adalah pentaksiran yang diadakan secara berterusan dalam proses pembelajaran murid dalam kelas, murid ditaksir oleh guru melalui pelbagai pendekatan bagi memastikan murid dapat mencapai tahap penguasaan yang sepatutnya.
“Manakala sumatif pula, adalah pentaksiran dibuat akhir sesuatu topik dan tempoh mungkin diakhir sesi, semester atau akhir tahun.
“Pentaksiran sumatif ini, biasa diadakan di sekolah khususnya ujian akhir tahun pertengahan penggal dan sebagainya. Ini merupakan apa yang lihat di dalam konteks pentaksiran berbentuk sumatif.
“Jadi, sekarang ini kita ingin menambahbaikan Pentaksiran Bilik Darjah ini,” katanya. – Malaysiapost

