Polis tahan 18 individu dipercayai terbabit kes serang Datuk Ramachandran

0
1

POLIS menahan 18 suspek dipercayai terbabit kes serangan Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang di hadapan rumahnya di Taman Alma, Machang Bubok, di sini, pada 23 Julai tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata tangkapan membabitkan 16 lelaki dan dua wanita berusia antara 22 hingga 53 tahun yang kesemuanya mempunyai rekod jenayah termasuk dadah.

Menurutnya, dalam kejadian pada jam lebih kurang 8.30 malam 23 Julai 2021, seramai empat orang yang menaiki sebuah kereta warna hitam dan memakai topeng muka serta bersenjatakan senjata tajam telah mencederakan mangsa.

“Bertindak atas maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang telah melancarkan beberapa serbuan dalam operasi ini dan telah berjaya menangkap seramai (18) orang suspek.

“Hasil daripada tangkapan, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan kes ini. Pihak polis juga masih mengesan seorang lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya dalam sidang media di IPK Pulau Pinang, hari ini.

Beliau berkata, turut dirampas sebuah kereta jenis Hyundai Sonata warna hitam yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam serangan terhadap mangsa.

“Kesemua individu yang ditahan disiasat mengikut seksyen 326 kanun keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan,” katanya.

Dalam kejadian serangan itu, mangsa, Datuk M Ramachandran, 70, diserang sebaik keluar dari kereta menyebabkan dia mengalami kecederaan parah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here