Muhyiddin ada ‘numbers’? Ini cerita karut – Mahfuz

0
2

Najamuddin Mohd Nor

DATUK Mahfuz Omar menyifatkan laporan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen untuk sekali lagi dilantik Perdana Menteri, adalah berita karut dan dongeng semata-mata.

Naib Presiden Parti Amanah itu berkata, beliau dan partinya tidak pernah sama sekali menyokong Muhyiddin kembali memimpin negara,

Malah, katanya, Pakatan Harapan (PH) juga pastinya tidak sesekali menyokong Muhyiddin kerana Presiden Bersatu itu didakwa sebagai Perdana Menteri yang gagal.

“Siapa nak dia jadi Perdana Menteri? Ini cerita karut dan dongeng, tak ada siapa pun mahu Muhyiddin kembali jadi Perdana Menteri.

“Ini kerana sebelum ini dia sememangnya gagal gagal mentadbir Malaysia.

“Tak logik bagi kami (PH) mahu mengangkat kembali Muhyiddin jadi Perdana Menteri, sebab apa? Pasal apa nak kena buat begitu?,” katanya kepada Malaysiapost.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu sebaliknya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melucutkan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang didakwa gagal.

“Yang saya nak cadangkan sekarang kepada Perdana Menteri untuk lucutkan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN. Dia gagal dan MPN sendiri pun gagal berfungsi memulihkan Malaysia.

“Kita tahu Covid-19 ini adalah hasil kerja Kementerian Kesihatan yang berjaya menanganinya tapi dari aspek ekonomi rakyat dan negara, kita masih gagal keluar dari kesan akibat Covid-19.

“Jadi daripada membazir duit rakyat, saya cadangkan Muhyiddin dilucutkan jawatan dan MPN itu sendiri wajar dimansuhkan. Buat apa ada lagi kalau dilihat masih gagal,” katanya.

Baru-baru ini, Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa Muhyiddin memberitahunya dua bulan lalu mempunyai sokongan 119 Ahli Parlimen selepas berunding dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, beliau menolak ajakan untuk menyokong Muhyiddin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here