Sebanyak 233 kes bunuh diri dilaporkan di Pulau Pinang sejak 2019

0
2

STATISTIK menunjukkan jumlah keseluruhan kes bunuh diri yang berlaku di Pulau Pinang, dari Januari 2019 hingga Mei 2022 adalah sebanyak 233.

Daripada jumlah itu pihak seramai 20 orang yang terlibat dalam bunuh diri adalah dengan cara terjun dari Jambatan Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata statistik menunjukkan jumlah kes bunuh diri tertinggi adalah pada tahun 2021 iaitu 114 orang, manakala tahun 2020 adalah seramai 78 orang dan tahun 2022 setakat ini 41 orang.

“Statistik pecahan cara bunuh diri yang berlaku di Pulau Pinang dari Januari 2020 hingga Mei 2022 adalah bagi 2020, terjun bangunan (22), gantung diri (39), terjun sungai (4), terjun jambatan (6), hidu asap beracun (3), minum racun (2), toreh pergelangan tangan (1) dan mencederakan diri sendiri (1).

“Tahun 2021, terjun bangunan (38), gantung diri (59), terjun jambatan (7), hidu asap beracun (4), minum racun (1), duduk di landasan keretapi (1), lemaskan diri ikat plastik di kepala (4) dan tidak diketahui punca (4).

“Bagi 2022, terjun bangunan (5), gantung diri (22), terjun jambatan (8), minum racun (2), terjun laut (2), bakar diri (1) dan tidak diketahui (2),” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, walaupun dalam kesibukan menjaga keamanan serta memberi tumpuan kepada pencegahan jenayah, pihak Polis Kontinjen Pulau Pinang sentiasa memantau dan mengambil berat tentang kejadian kes bunuh diri yang berlaku di Pulau Pinang.

Sementara itu, Mohd Shuhaily turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Pasukan Polis Marin Wilayah 1, di mana dalam tempoh Januari hingga Mei 2022, telah membuat rampasan bernilai RM 1,280,665.45 melalui Op Kontraband.

“Ini menunjukkan bahawa walaupun dalam kesibukan menguatkuasakan undang-undang di perairan, Pasukan Polis Marin masih komited dalam menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan mangsa-mangsa bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here