PELBAGAI aspek perlu diteliti untuk Barisan Nasional (BN) melaungkan gabungan itu telah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu dibangkitkan bekas Timbalan Ketua Bahagian Umno Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, yang berkata, ‘bersedia’ bukan hanya mudah dilaungkan dengan sorakan tanpa perancangan yang rapi.
“Bersedia untuk berhadapan pilihan raya? Bersedia bukan hanya sekadar dengan sorakan dan laungan.
“Perlu nilai keupayaan sumber, persiapan jentera dan strategi untuk menang dan menundukkan lawan,” katanya.
Tun Faisal yang digantung enam tahun Biro Disiplin Umno berkata demikian di ruangan komen pada hantaran Facebook Tan Sri Annuar Musa, hari ini.
Dalam hantaran itu, Tun Faisal senada dengan Annuar yang bersetuju sekiranya PRU15 diadakan awal namun BN perlu memastikan parti itu berada dalam situasi benar-benar bersedia untuk menghadapi PRU15 sekali gus mencapai kemenangan.
Menjelaskan mengenainya, Tun Faisal berkata, selain aspek sumber dana dan kewangan, BN perlu merangka strategi terutamanya dalam mengenal pasti beberapa kerusi yang boleh ditawan pada PRU15 nanti.
“Kena kira berapa maksimum kerusi yang BN boleh menang jika pertandingan satu lawan satu, tiga penjuru atau lebih.
“Memberi tekanan kepada PM untuk mendedahkan bila masa perlu pilihan raya dibuat dalam keadaan beliau juga diminta mencari dana dan mempersiapkan parti tidak membantu beliau membuat keputusan yang tepat,” katanya.
Semalam, berucap di Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional (BN) ke-48, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan beliau tidak akan melewatkan walau sesaat bagi mengadakan PRU15 jika Barisan Nasional (BN) sudah bersiap siaga.
Justeru, Ismail Sabri berkata, beliau akan membincangkan bersama pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) bagi memutuskan tarikh PRU15.
“Kalau BN sudah bersiap sedia saya tak akan melewatkan sesaat pun PRU-15 seperti dipersetujui sebelum ini dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu, PRU-15 akan dibincangkan bersama lima pimpinan tertinggi.
“Jadi, saya setuju untuk berbincang dengan pimpinan BN untuk menentukan tarikh,” katanya. – Malaysiapost

