Mohammad Farhan dilantik sebagai Ketua Putera Umno pertama

0
1

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan pelantikan Mohammad Farhan Mokhali sebagai Ketua Putera Umno yang pertama.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Asyraf Wajdi, berkata pelantikan Mohammad Farhan itu dibuat berserta Ahli Jawatankuasa Putera Umno Peringkat Kebangsaan, dengan kesemua mereka melalui proses latihan dan pemilihan berpusat hujung Februari lalu. 

“Malam tadi selepas Halaqah Ilmu di rumah, saya umumkan nama-nama yang terpilih untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Putera Umno  Malaysia. 

“Selebihnya akan diserapkan di di peringkat jawatankuasa negeri-negeri,” katanya menerusi hantaran itu.

Asyraf Wajdi berkata, barisan kepimpinan itu terdiri daripada anak muda cukup berketrampilan yang berumur antara 18 hingga 25 tahun.

“Mereka mempunyai latar belakang unik termasuk Hafiz al-Quran, instafamous, pemimpin mahasiswa, bekas pelajar terbaik STPM Malaysia, juara pidato, ahli korporat muda, usahawan muda dan lain-lain.

“Mereka saya berikan amanah awal untuk segera turun ke negeri-negeri selain membentuk organisasi di peringkat negeri juga anjurkan pelbagai program mendekati anak muda.

“Ia termasuklah sesi-sesi ‘townhall’ untuk mengutip idea dan aspirasi mereka bagi dimasukkan dalam Manifesto BN untuk PRU akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata,  beliau bertekad membentuk generasi pewaris Umno yang beridealisme dan punya roh perjuangan berpaksikan prinsip Islam sejati.

“Kumpulan teras ini akan saya bimbing secara peribadi dan sudah mewajibkan mereka untuk hadir Halaqah Ilmu di rumah saya secara berkala. 

“Sudah menjadi antara agenda dan tekad saya tatkala diberi amanah selaku Ketua Pemuda Umno untuk membina dan membangunkan generasi pewaris Umno yang beridealisme dan punya roh perjuangan berpaksikan prinsip Islam sejati.

“Moga Allah berkati dan rahmati usaha membina generasi pewaris perjuangan masa depan Umno demi Agama, Bangsa dan tanah air tercinta,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here