Siasatan rasuah MRT sudah bermula Mac lalu – Azam Baki

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap Projek Aliran Massa (MRT) sejak Mac lalu dan setakat ini dua kertas siasatan telah dibuka.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya menumpukan siasatan kepada pembayaran berunsur rasuah dalam projek berkenaan.

Menurutnya, SPRM telah lebih awal memulakan siasatan sebelum laporan mengenai pihak berkuasa Perancis menyiasat berhubung dakwaan penipuan dan rasuah projek MRT yang membabitkan syarikat-syarikat di Malaysia dan negara berkenaan.

“Kes ini, ada permohonan dari pihak berkuasa Perancis yang memohon secara ‘mutual legal assistance’ melalui Jabatan Peguam Negara.

“Isu sepertimana telah dilaporkan berkaitan dengan isu LRT dan MRT terdahulu, bukan sekarang. Pihak Perancis mengatakan mereka sedang menyiasat pihak-pihak tertentu termasuk juga syarikat-syarikat di Malaysia dan di sana.

“Siasatan pihak berkuasa Perancis adalah berhubung amalan rasuah pihak asing,” katanya pada sesi bersama media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, permohonan negara berkenaan sedang diteliti dan sebarang bantuan yang ingin berikan kepada negara seperti Perancis atau negara lain, perlu melalui Jabatan Peguam Negara.

“Kita sedang meneliti apa yang kita boleh bekalkan dan beri bantuan kepada mereka. Bukan semua yang mereka minta akan kita penuhi.

“Vice-versa apa-apa juga permohonan kita kepada Perancis mereka kena bantu kerana sebenarnya siasatan kita berhubung isu ini telah buka dua bulan lepas, kami telah lebih awal siasat,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pihaknya sedia disiasat berhubung dakwaan terdapat elemen pemberian rasuah dalam projek MRT.

Media tempatan baru-baru ini juga melaporkan pihak berkuasa Perancis sedang menyiasat dakwaan penipuan dan rasuah membabitkan projek MRT bernilai RM692 juta yang berlaku beberapa tahun lalu.

Sementara itu, SPRM pada 22 Mac lalu dilaporkan menahan lima individu membabitkan dua bekas pengarah dan tiga pengarah syarikat kejuruteraan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek MRT bernilai lebih RM650 juta. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here