PGA rampas 22,000 liter minyak diesel bersubsidi

0
1

DUA lelaki yang dipercayai terbabit sindiket penyeludupan ditahan dan 22,000 liter minyak diesel bersubsidi berjaya dirampas dalam serbuan oleh Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Johor di sebuah premis di Jalan Paltinum 4, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Mohd Razali Melin berkata, tangkapan membabitkan lelaki tempatan berusia 29 dan 31 tahun pada jam 12.45 tengah malam.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi selama dua bulan dan seorang daripada suspek yang ditahan dipercayai bertindak sebagai penjaga premis, manakala seorang lagi suspek bertindak sebagai pemandu lori.

“Hasil pemeriksaan, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen memiliki, menyimpan dan membawa barang kawalan.

“Selain 22,000 liter minyak diesel bersubsidi, turut dirampas dua tangki kapasiti 20,000 liter, tong putih kapasiti 1,000 liter, dua mesin pengepam dan empat lori tiga tan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM357,200 dan tangkapan serta barang rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor untuk tindakan lanjut.

“Tangkapan dan rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi di sekitar daerah Johor Bahru dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui jalan yang tidak diwartakan ke Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA di talian Hotline 07-7557280,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here