Pelajar enggan sertai kongsi gelap dibelasah

0
1
Polis Di Raja Malaysia

SEORANG pelajar berusia 15 tahun cedera dipukul sekumpulan remaja selepas menolak ajakan kumpulan terbabit untuk menyertai kongsi gelap dalam kejadian di hadapan sebuah sekolah menengah di daerah Iskandar Puteri, Johor pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kes pukul berkenaan pada kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Menurutnya, remaja terbabit didatangi oleh enam suspek berusia 17 hingga 18 tahun yang tidak dikenali dan mengajak mangsa menyertai kumpulan kongsi gelap.

“Mangsa telah dipukul menggunakan tangan oleh enam suspek berkenaan kerana tidak mahu menyertai kumpulan terbabit.

“Remaja terbabit mengalami kecederaan di bibir, pipi dan dahi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan maklumat yang diterima, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri telah berjaya menahan seorang daripada enam suspek berkenaan di sekitar daerah Iskandar Puteri, semalam.

“Hasil siasatan awal, suspek mengaku terbabit dalam kes pukul berkenaan bersama rakan-rakan yang lain.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Rahmat meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian dan berada di lokasi untuk tampil ke balai polis untuk memberi keterangan berkaitan kes pukul terbabit.

Menurutnya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan perilaku jenayah yang membabitkan pelajar sekolah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here