SEPASANG kekasih warga Singapura yang didapati menagih dadah ketika sedang bercuti di Johor pada 31 Mei, lalu ditahan kerana bergaduh.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perkara itu terbongkar selepas polis menerima aduan pada jam 4.28 pagi terdapat pergaduhan sepasang kekasih sehingga menyebabkan kecederaan kepada teman wanita.
“Dalam kejadian terbabit, pasangan berusia 34 dan 29 tahun itu bertengkar sebelum suspek lelaki mengambil pisau dan menikam punggung sebelah kanan teman wanitanya.
“Siasatan mendapati kedua-duanya merupakan warga Singapura dan telah menyewa sebuah pangsapuri perkhidmatan di Mount Austin serta positif dadah,” katanya.
Beliau berkata, pasangan itu didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman, pihaknya mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa ke negeri ini namun diingatkan agar mematuhi undang-undang atau berdepan tindakan tegas.
Sementara itu, beliau turut menafikan laporan sebuah portal media sosial Singapura yang menyenaraikan tujuh lokasi didakwa berbahaya khususnya buat warganegara berkenaan yang berkunjung Johor.
“Ada media asing tidak bertanggungjawab dan menuduh Johor tidak selamat dengan menyebarkan beberapa lokasi yang didakwa berbahaya, saya menafikan tuduhan berkenaan.
“Polis Johor dengan kerjasama kerajaan negeri telah meningkatkan kemampuan dan juga penugasan polis di mana sejak sempadan dibuka, seramai 1,600 pegawai dan anggota ditugaskan meningkatkan kawalan di 41 lokasi tumpuan umum seluruh negeri.
“Sehingga kini, polis tidak menerima walau satu pun laporan kejadian jenayah melibatkan (mangsa) rakyat negara itu, yang ada hanyalah laporan pecah rumah yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.
Difahamkan, portal berkenaan mendakwa, antara lokasi yang didakwa tidak selamat untuk dikunjungi warganegara Singapura termasuk Larkin Sentral, Taman Pelangi, Taman Molek, Stulang Laut, Jalan Wong Ah Fook dan lebuh raya Pasir Gudang. – Malaysiapost

