PH tidak setuju laksana semula GST

0
1

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan semula sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menerusi kenyataan hari ini, Majlis Presiden PH berkata dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.

“Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak. Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat.

“Pada ketika persepsi tatakelola serta urustadbir kerajaan belum pulih akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan tatkala Malaysia berada di kedudukan ke-62 dalam indeks persepsi rasuah Transparency International.

“Serta kedudukan ke-2 dalam indeks kapitalisme kroni (crony-capitalism index) The Economist, adalah tidak munasabah kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urus tadbir Kerajaan telah berjaya dilaksana,” katanya.

Sementara itu, kenyataan itu berkata tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme.

Tambahnya, Perdana Menteri juga perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihan raya yang lalu.

“Oleh itu, PH tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu ini terus membelenggu rakyat,” katanya lagi.

Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook serta Presiden Upko, Datuk Seri Madius Tangau.

Ismail Sabri dalam wawancara khas bersama kumpulan media, Nikkei Asia di Tokyo baru-baru memaklumkan kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengembalikan GST, sebagai satu cara efektif menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Katanya, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.

Malaysia beralih ke sistem GST semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN) pada April 2015, namun kadar enam peratus dikritik hebat pembangkang dan kumpulan pengguna, sekaligus dikatakan antara penyumbang kepada kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here