BN iltizam kembalikan ‘Malaysia Asal’ – Ahmad Zahid

0
1

BARISAN Nasional (BN) memimpin kerajaan selama 62 tahun, sejak negara mencapai kemerdekaan sehinggalah rakyat membuat keputusan memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata terputusnya rantai pemerintahan negara daripada tangan BN empat tahun lalu memberikan natijah dan hikmah yang amat besar kepada BN dan rakyat.

Menurutnya, hikmah buat BN ekoran kekalahan pada PRU ke-14 itu adalah memberi ruang kepada parti untuk melakukan introspeksi atau muhasabah diri, atas kelemahan dan kekurangan yang ada serta merencana kembali pendekatan untuk bangkit semula.

“Hikmah buat rakyat, ia telah memberi peluang untuk menilai kemampuan sebenar parti-parti yang dipilih membentuk kerajaan. Negara buat pertama kali menyaksikan, sejak empat tahun lalu, tiga kerajaan dan tiga Perdana Menteri bertukar ganti.

“Bermula dengan kerajaan PH (Pakatan Harapan), rakyat disajikan pelbagai janji bulan bintang dengan slogan ‘Malaysia Baharu’, sehinggakan akar-akar yang menjadi asas pembinaan negara bangsa cuba dirobek dan dirungkaikan.

“Mandat rakyat dipermainkan, malah pentadbiran berasaskan dendam lebih banyak dihabiskan untuk mencari salah dan memadamkan legasi BN berbanding memfokuskan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam ucapan dasar sempena Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Beliau berkata, kerajaan PH jatuh apabila Perdana Menteri mereka sendiri meletakkan jawatan, kemudian kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sinonim dengan ‘kerajaan gagal’ pula mengambil alih.

Katanya, keadaan itu kemudian membawa kepada peralihan kepimpinan negara buat kali ketiga yang diterajui oleh wakil daripada parti BN sebagai Perdana Menteri.

“Namun kerajaan campuran yang dibentuk dengan ihsan pembangkang pastinya tidak akan mampu bertahan lantaran terpaksa melayan pelbagai karenah tuntutan dan kepentingan parti-parti yang punya kerencaman tujuan dan matlamat,” katanya.

Beliau berkata, boleh disimpulkan, kesan daripada PRU-14 yang lalu, negara tidak pernah lagi merasai suasana kestabilan sebagaimana zaman BN memerintah atas beberapa faktor.

“Antaranya keghairahan untuk menawarkan Malaysia Baharu dengan merungkaikan asas toleransi pelbagai kaum dengan cubaan merobek sifat keindukan Bumiputera Melayu Islam dalam kemajmukan.

“Pendekatan Malaysia Baharu untuk mewujudkan kesamarataan menggantikan prinsip kesaksamaan yang digagaskan BN telah melebarkan lagi jurang hingga mencetuskan kegusaran dan menajamkan prejudis hingga menggugat keharmonian.

“Formula Malaysia Baharu yang kononnya mahu diterjemahkan melalui tadbir urus yang baik dan sifat ketelusan hanyalah indah khabar dari rupa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sehubungan itu, apa yang dilalui selama hampir empat tahun ini, meyakinkan bahawa hanya acuan BN sahaja yang mampu mencipta kestabilan dan harus kembalikan ‘Malaysia Asal’ bukan retorik ‘Malaysia Baharu’ yang ternyata gagal.

“Malaysia Asal atau The Original Malaysia yang dimaksudkan adalah berpandukan formula BN yang digagaskan oleh ‘our forefathers’, yang telahpun dipaterikan melalui Perlembagaan Persekutuan dan diperkasakan lagi melalui Rukun Negara dan pelbagai dasar-dasar berteraskan prinsip toleransi dan kesetiaan yang tinggi di kalangan rakyat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, BN beriltizam untuk mengembalikan acuan Malaysia yang Asal, namun dengan penambahbaikan bagi memperbaiki segala kelemahan dan menjernihkan segala keterlanjuran masa lalu.

Menurutnya, ia termasuklah agenda pembaharuan institusi berpandukan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan pembasmian segala bentuk penyimpangan dan rasuah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here