PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan beberapa faktor yang memberi kesan kepada peningkatan harga barangan termasuk kedudukan nilai matawang ringgit dan prospek pemulihan ekonomi negara.
Beliau berkata, sebagai ekonomi yang terbuka dengan nilai keseluruhan perdagangan luar merangkumi hampir 120 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami kesan ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia.
Katanya, sekiranya konflik antara Rusia dan Ukraine berterusan, ia juga akan memberi implikasi kepada komoditi dan turut memberi kesan kepada harga barang.
“Dan tindakan beberapa negara menghentikan eksport makanan seperti India serta Indonesia, juga akan memburukkan lagi keadaan,” katanya ketika berucap di Konvensyen Barisan Nasional (BN) Sempena Ulang Tahun BN Ke-48 di PWTC, hari ini.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan sentiasa memantau keadaan tersebut dan terus komited dalam melaksanakan langkah proaktif melalui pengubahsuaian dasar-dasar tertentu, seiring dengan perubahan senario ekonomi global, yang lazimnya di luar kawalan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, beliau turut bersyukur kerana ekonomi negara terus tumbuh walaupun terkesan dengan permasalahan dihadapi seluruh dunia.
“Alhamdulillah, selepas ekonomi negara tumbuh sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021, momentum ini terus dikekalkan sepanjang suku pertama 2022, iaitu sebanyak 5 peratus.
“Ini telah disokong oleh peningkatan permintaan dalam dan luar negara, serta pemulihan pasaran buruh.
“Sokongan dasar Kerajaan yang berterusan, terutamanya melalui inisiatif di bawah Bajet 2022 yang mengembang serta langkah yang giat dilaksanakan sejak awal tahun, telah menyumbang kepada kejayaan ini.
“Sepanjang suku pertama 2022, kita dapat lihat KDNK bulanan berkembang secara berterusan pada kadar 4.3 peratus pada Januari, 5.2 peratus pada Februari dan 5.4 peratus pada Mac. Melangkah ke hadapan, ekonomi negara dijangka terus menunjukkan trend pertumbuhan,” katanya.
Beliau berkata, trend pertumbuhan itu susulan daripada pemulihan pasaran buruh yang berterusan, dengan kadar pengangguran pada 4.1 peratus pada bulan April 2022.
“Kedua, keyakinan perniagaan yang semakin meningkat selari dengan penggunaan isi rumah yang kukuh. Indeks Sentimen Pengguna (CSI) meningkat kepada 108.9 mata pada suku pertama 2022 (berbanding pada suku keempat 2021 sebanyak 97.2 mata), manakala Statistik Kecenderungan Perniagaan telah merekodkan indikator keyakinan sebanyak 7.6% (berbanding pada suku keempat 2021 sebanyak -0.3%); dan
“Ketiga, peningkatan nilai jualan sektor pembuatan sebanyak 13.9% kepada RM144.6 bilion, serta jualan perdagangan borong dan runcit yang berkembang sebanyak 9.8% kepada RM123.8 bilion pada Mac 2022,” katanya.
Disamping itu, beliau berkata, keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara kekal teguh.
“Tidak kira dari sudut pelaburan langsung asing bersih, perdagangan luar, mahupun pelaburan di pasaran saham, keyakinan tersebut jelas digambarkan baru-baru ini.
“Sebagai contoh, sepanjang suku pertama 2022, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu. Jumlah perdagangan luar berkembang sebanyak 23.6% kepada RM624.9 bilion, manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini,” katanya.
Tambahnya, Bursa Malaysia juga telah mendahului bursa-bursa lain di rantau ini dengan penyenaraian awam baharu, atau IPO berjumlah 362 juta Dolar Amerika Syarikat. – Malaysiapost

