Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mahu usahawan negeri itu yang berjaya supaya memainkan peranan dalam usaha menjadikan Kelantan sebuah negeri yang maju, makmur.
Berucap pada majlis Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan 2022, Ahmad memuji kerjasama baik yang disumbangkan oleh golongan tersebut selama ini.
Justeru itu beliau berharap, usahawan perlu bersama dengan agensi kerajaan bagi membangun dan membantu masyarakat Kelantan.
”Oleh itu, saya berharap gerakan secara bersepadu melalui usaha sama pelbagai agensi seperti Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Perbadanan Kemajuan Ikhtisas Negeri Kelantan dengan sokongan agensi pelaburan MIDA serta agensi-agensi lain dapat dijalankan.
“Saya percaya berkat kerjasama semua pihak termasuk golongan usahawan dalam membangunkan negeri serta membantu masyarakat akan memastikan Kelantan terus membangun, aman dan makmur,” katanya.
Ahmad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan 2022 di Kota Bharu, malam tadi.
Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Anugerah Perniagaan Keusahawanan Kelantan 2022, Shahir Adnan.
Ahmad berkata, beliau menghargai tokoh-tokoh usahawan Kelantan yang secara langsung dan tidak langsung mengambil bahagian dalam membantu masyarakat yang memerlukan dalam pelbagai program kebajikan.
‘Saya mendoakan agar semua para usahawan khususnya di negeri Kelantan akan berkembang maju sehingga ke peringkat antarabngsa, selain menjadi contoh kepada anak-anak muda Kelantan Untuk bergiat dalam bidang keusahawanan,” katanya.- Malaysiapost

