Tok Mat kesal jentera parti komponen BN tak upaya tangkis tohmahan 

0
1
tokmat

SEMUA parti kompenen Barisan Nasional (BN) perlu lebih pro aktif menangkis serangan bertalu-talu musuh terutamanya daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).  

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jentera BN perlu bersatu hati untuk lebih agresif menyerang musuh sekali gus mamatikan bidasan dan hasutan memburukkan BN.  

“Saya perhatikan dalam banyak keadaan, kita gagal memberi jawapan dan bidasan. Saya kadang-kadang sangat kesal atas sikap berdiam diri kita. Jentera parti komponen nampak tidak berupaya menangkis tohmahan keji lawan kita dengan radikal dan berkesan. 

“Jangan biar bossku (Najib Razak) seorang sahaja lawan, kita semua dalam dewan ini mesti agresif lawan. Jangan berpeluk tubuh sahaja dan biarkan BN karam dalam limpahan serangan bertalu-talu dari pelbagai sudut oleh PH dan PN. 

“Bukannya kita ini parti yang tidak ada sumber dan kekuatan. Kita ada pelbagai sumber dan kelebihan. Jadi gunakanlah! Hentam cukup-cukup, pastikan kita raih kemenangan dalam PRU15,” katanya ketika merasmikan Konvensyen BN sempena ulang tahun ke-48 di PWTC, hari ini.  

Dalam ucapannya, Mohamad atau lebih mesra disapa Tok Mat juga memberi peringatan agar pendekatan “tunggu dan lihat” serta menjawab hanya apabila diserang mesti ditamatkan segera, sebaliknya BN perlu giat membongkar kegagalan PH dan PN selama ini. 

“Saya harap kepimpinan dan ahli semua parti komponen BN akan memberi perhatian serius kepada apa yang saya tegaskan ini,” katanya. 

Timbalan Presiden Umno itu turut memberi peringatan kepada semua parti komponen agar berpegang teguh kepada politik bermoral agar gabungan itu kekal bertahan. 

“Perkara yang tidak bermoral tidak akan menang. Apa jua yang bermoral, pasti akan bertahan dan dikenang. Kita mesti menolak sang oportunis politik. Jangan beri ruang kepada pedagang politik.  

“Dahulu kita dalam BN berbelas-belas komponen. Bila kita kalah, kita cuma tinggal berempat. Semua meninggalkan kita. Kerana moral, perjuangan dan kesetiaan mereka telah ditafsir dan diubah-ubah mengikut selera dan perut yang tidak pernah kenyang. 

“Walaupun kita hanya tinggal berempat, jika kita berpegang pada prinsip, pada politik bermoral, pada landasan dan falsafah yang berpandukan nilai, kita pasti akan menang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here