Konvensyen BN platform rapatkan BN di semua peringkat – Zahid

0
1

KONVENSYEN dan Ulang Tahun Barisan Nasional (BN) ke-48 hari ini, menjadi platform merapatkan hubungan antara semua pemimpin BN di setiap peringkat sama ada negeri, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN adalah satu gabungan politik yang memerlukan saf kepimpinan dan jentera semua parti komponen yang bersatu hati untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kali ini BN memerlukan ramai rakan-rakan dari parti lain untuk terus mendokong kerajaan yang ada. BN mengambil pendekatan terutamanya merapatkan barisan kepimpinan dalaman dan menyatukan seluruh jentera di semua peringkat .

“BN mengambil lima langkah dan mudah-mudahan lima acuan ini akan dapat digunapakai oleh seluruh kepimpinan di peringkat nasional, negeri, Parlimen dan DUN,” katanya pada sidang media di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Setiausaha BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno menjelaskan, setiap perkara yang telah dipersetujui dan ditandatangani semua Presiden komponen BN, adalah satu tekad untuk memenangi PRU-15.

“Apa yang telah ditandatangani tadi adalah merupakan tekad BN dan apa juga yang telah dilafazkan oleh rakan-rakan Presiden parti-parti yang bergabung dengan BN mempunyai ‘familiarity’ dengan tekad yang ditanda tangani.

“Kita merasakan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) tidak akan ditangguhkan walau sesaat pun. Bila…hanya beliau yang tahu (Perdana Menteri).

“Kesiapsiagaan bukan sahaja jentera pilihan raya tetapi cara gerak kerja yang dilakukan berbeza dengan pilihan raya yang lalu kerana ketika itu BN menjadi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang dominan,” katanya.

Beliau menegaskan, Umno dan BN telah lama bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15.

“Umno telah bergerak sekian lama namun BN mahu parti-parti lain bersama-sama dengan Umno untuk bergerak seiring sejalan di dalam menentukan kemenangan PRU-15.

“Kita harapkan kesiapsiagaan ini bukan satu gendang perang tetapi ianya adalah lebih berbentuk kepada kesiapsiagaan bagi memperkukuhkan jentera parti-parti komponen dan gabungan BN,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here