YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga legenda bola sepak negara, Syed Ahmad Abu Bakar, yang kembali ke Rahmatullah hari ini.
Ucapan itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook Istana Negara sebentar tadi.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.
“Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat sukan bola sepak tanah air,” menurut Istana Negara.
Berasal dari Pontian, Johor, Allahyarham mencipta nama menyarung jersi negara dari tahun 1966 hingga 1974 dan meninggalkan legasi bersama tiga pasukan dari utara iaitu Pulau Pinang (1965-1972), Perak (1972-1980) dan Kedah (1980-1981).
Allahyarham, semasa bersama skuad kebangsaan, berjaya menjaringkan gol dalam aksi kelayakan di Seoul, Korea Selatanada 1971 yang melayakkan Malaysia beraksi di Sukan Olimpik. – Malaysiapost

