KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan sesi ‘Townhall Meeting’ (THM) peringkat negeri Selangor bersama agensi-agensi kerajaan dan swasta dalam usaha membendung penularan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata antara agensi yang terbabit adalah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Masyarakat Malaysia (KEMAS), Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), persatuan pengusaha dan pengusaha-pengusaha taska swasta.
Menurutnya, penganjuran THM itu adalah satu usaha proaktif yang menggabungkan beberapa aktiviti Kesihatan seperti ceramah, edaran bahan pendidikan kesihatan, tunjuk ajar penjagaan kesihatan dan basmi kuman premis kepada peserta.
“Hampir 30 peratus kes HFMD di Malaysia dilaporkan berlaku di Selangor. Daerah Petaling merekodkan bilangan tertinggi iaitu 3.8 peratus (7,247 kes) dari keseluruhan 20,433 kes HFMD di Selangor sehingga 30 Mei lalu.
“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor telah membuka Bilik Gerakan HFMD sejak 4 April lalu dan setakat ini terdapat 182 kluster HFMD dilaporkan membabitkan. 773 kes dengan 83 peratus adalah kluster taska/tadika serta pusat jagaan harian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sejajar dengan situasi semasa kes dan juga wabak HFMD di Malaysia tahun ini yang mencatatkan sebanyak 71,471 kes sehingga 30 Mei lalu iaitu peningkatan sebanyak 28 kali ganda bagi tempoh sama tahun 2021, perlaksanaan THM amat penting bagi menetapkan pemahaman mengenai punca penyakit dan peranan perlu diambil semua pihak.
“Program THM ini akan diteruskan perlaksanaannya di seluruh Malaysia terutama negeri-negeri yang mengalami peningkatan kes HFMD yang tinggi. Sehingga Mei 2022 sejumlah 187 sesi THM telah diadakan,” katanya. – Malaysiapost

