“BN bersedia, saya tidak melewatkan sesaat PRU-15” – PM

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob sekali lagi menegaskan beliau tidak akan melewatkan walau sesaat bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika Barisan Nasional (BN) sudah bersiap siaga.

Justeru, Ismail Sabri berkata, beliau akan membincangkan bersama pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) bagi memutuskan tarikh PRU-15.

“Kalau BN sudah bersiap sedia saya tak akan melewatkan sesaat pun PRU-15 seperti dipersetujui sebelum ini dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) lalu, PRU-15 akan dibincangkan bersama lima pimpinan (Top five) tertinggi.

“Jadi, saya setuju untuk berbincang dengan pimpinan BN untuk menentukan tarikh,” katanya ketika berucap sempena Konvensyen BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan barisan Umno dan BN agar tidak merasa selesa walaupun telah memenangi beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, meskipun rakyat kembali memberi kepercayaan kepada BN namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk memenangi hati mereka bagi menjamin kejayaan dalam PRU-15.

“Kekalahan PRU-14 adalah satu detik hitam yang memberi pengajaran paling bernilai kepada kita. Tragedi pada tahun 2018 itu, menyaksikan perubahan landskap politik negara. Buat pertama kali selepas lebih 60 tahun mentadbir, BN gagal mengekalkan kuasa.

“Jadi, demi memastikan mimpi buruk 22 bulan tidak berulang, kita wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu, dalam menghadapi PRU-15 yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang, bagi mengekalkan rentak kemenangan yang telah kita capai mutakhir ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan tiga gerak kerja untuk dilaksanakan bersama.

“Iaitu BN hari ini harus sentiasa berusaha untuk mencapai budaya kerja kelas pertama yang ditafsirkan sebagai berpasukan, berdisiplin dan kesetiaan kepada parti.

“Elemen kedua ingin saya tekankan BN perlu memenangi hati rakyat. Saya sebagai sebagai Perdana Menteri akan memastikan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat, Selain itu, perkhidmatan yang terbaik harus diberikan kepada rakyat. Kerajaan sentiasa cakna, mengambil berat, mencari inisiatif terbaik dan segera menyelesaikan masalah setempat.

“Ketiga ialah merangka strategi formula strategi kemenangan PRU-15 yang perlu fokus kepada pemantapan jentera pilihan raya di antara parti komponen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here