Konvensyen BN mahu PRU-15 diadakan dalam masa terdekat

0
1

PERWAKILAN yang menyertai Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional (BN) ke-48, hari ini bersorak dan bangun apabila Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melontarkan pertanyaan siapa mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini dalam masa terdekat.

Ahmad Zahid bertanyakan mengenai saranan tarikh PRU-15 di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ucapan dasarnya sempena Konvensyen dan Sambutan Ulang Tahun BN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

“Tadi (ucapan) Perdana Menteri (PM) menyatakan bahawa beliau tidak akan menunggu sesaat pun untuk mengadakan pilihan raya umum.

“Saya nak tanya dengan perwakilan, siapa nak pilihan raya tahun depan?Siapa mahu pilihan raya tahun ini? Siapa mahu pilihan raya dalam waktu terdekat? Kalau kita mahu pilihan raya tahun ini dan dalam waktu terdekat, saya nak lihat berapa ramai yang bangun dan menyokong saranan ini,” katanya.

Reaksi semua perwakilan dan kepimpinan BN yang bangun dan bersorak itu menunjukkan BN mahu PRU-15 diadakan segera.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, biarlah perkara itu dibincangkannya bersama Perdana Menteri bagi menentukan jeda waktu yang terbaik untuk menghadapi PRU-15.

“PM dah sebut beliau akan bincang dengan ‘Top Five’, akan bincang dengan Ahli Majlis Tertinggi (MKT). PM kami percaya pada anda. Lakukannya secepat yang mungkin.

“PM..kami dah bersedia untuk menghadapi PRU-15. Kita telah bersiap siaga untuk menghadapi PRU-15,” katanya.

Beliau berkata, PRU-14 sudah lebih empat tahun berlalu dan bererti PRU-15 boleh berlangsung pada bila-bila masa, maka BN tidak boleh leka.

“Segala persiapan menghadapi PRU seharusnya sudah mencapai tahap tertinggi. Dan saya benar-benar berharap, semua komponen BN harus lebih banyak terlibat dalam kerja-kerja teknikal pilihan raya. Kita perlu bekerja dan bersedia untuk menang.

Menurutnya, sebagai pemimpin dan anggota parti, tugas dan tanggungjawab semua adalah untuk membuat persiapan dan memperkemaskan jentera di peringkat akar umbi serta alankan usaha untuk mengukur tahap sokongan rakyat di kawasan Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing.

“Di peringkat kepimpinan, selepas Perhimpunan kita hari ini, bermula pertengahan Jun 2022, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional akan mengetuai pasukan kerja pusat untuk turun ke Negeri-Negeri bagi meninjau persiapan jentera.

“Saya mahu Jawatankuasa Pilihan Raya Barisan Nasional di setiap peringkat diaktifkan segera.

“Gerakan kita adalah gerakan biru. Lambang kita adalah satu, Dacing yang menjadi lambang neraca kesetiaan dan kestabilan, lambang kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here