KJ sahkan 3 kes disyaki bukan cacar monyet

0
2

MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengesahkan tiga kes yang disyaki jangkitan cacar monyet sebelum ini adalah tidak benar.

Menerusi ciapan di Twitternya, Khairy berkata, berdasarkan laporan makmal, dua daripada tiga kes yang disyaki itu adalah cacar air, sementara satu lagi adalah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

“Kemas kini Cacar Monyet: Kami menerima keputusan makmal daripada tiga kes yang disyaki. Dua disahkan sebagai cacar air. Satu HFMD,” ciapnya.

Sebelum ini, media melaporkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyediakan pelan strategik bagi menghadapi risiko kemasukan jangkitan cacar monyet ke negara ini walaupun tiada kes setakat ini.

Khairy dipetik sebagai berkata, garis panduan bagi pengurusan kes itu merangkumi tatacara pengesanan dan notifikasi kes, pengambilan sampel bagi ujian makmal, siasatan dan pengurusan kes serta kontak rapat, langkah pencegahan dan kawalan dan Pemantauan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara.

Katanya, ia termasuk pengumuman di penerbangan ketika pelepasan dan ketibaan berkaitan cacar monyet serta rujukan kendiri atau kru kapal jika pengembara didapati bergejala.

“Kita maklumkan apakah gejala yang perlu mereka pantau dan keperluan pemantauan kesihatan diri selama 21 hari bagi pengembara dari negara berisiko.

“Kita akan keluarkan satu notis kepada mereka dalam MySejahtera untuk pengembara dari negara berisiko bagi pemantauan kesihatan kendiri selama 21 hari,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here