“PENGECUT, berani fitnah dan tipu selama berpuluh tahun tapi kecut bila dicabar,” kata Datuk Seri Najib Razak.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian menyelar tindakan Veteran DAP, Lim Kit Siang yang menolak pelawaannya untuk berdebat.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, Lim sebagai seorang yang berani memfitnah, namun kecut bila dicabar berdebat dalam bahasa Inggeris.
“Saya ‘offer’ debat dalam Bahasa Inggeris dengan dia pun dia kecut. Takkan nak saya debat dalam Bahasa Mandarin pulak?.
“Kenyataan ‘uncle’ pagi ini. Dia kata dia tak bersara politik. Dia tak mahu debat dengan saya. Alasan kali pertama tak debat (tahun 2019): Debat antara Kit Siang dengan Najib akan mencetuskan isu perkauman.
“Alasan kali kedua tak debat (tahun 2022): Debat akan beri platform kepada Najib untuk menonjolkan diri dan menaikkan kredibiliti Najib,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.
BACA LAGI: ‘Saya sedia ke penjara, adakah Najib bersedia?’ – Kit Siang
Najib berkata, Kit Siang menggelarkan dirinya sebagai kleptokrat, namun Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu terlupa kes rasuah banglo dan projek pembinaan terowong membabitkan anaknya, Lim Guan Eng.
“Tak mahu debat tak apa. Jawablah sahaja soalan yang saya tanya pada dia dua minggu lalu,” katanya.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Najib turut mengkritik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung pelaburan negara dengan China.
“Tahun 2018, Mahathir fitnah Najib mahu jual Malaysia sebab negara China banyak melabur dan meniaga dengan Malaysia. Lalu banyak batalkan projek China selepas menang PRU14.
“Tahun 2022, Mahathir saran dunia untuk tidak memburukkan hubungan dengan China demi kepentingan ekonomi negara. Begitulah dia,” katanya. – Malaysiapost

