PRESIDEN Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal mendakwa dihubungi Tan Sri Muhyiddin Yassin dua bulan lalu bertujuan mendapatkan sokongan untuk menjadi Perdana Menteri semula.
Ahli Parlimen Semporna itu mendakwa, Muhyiddin memberitahu telah mendapat sokongan 119 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota.
Memetik laporan The Star, Mohd Shafie mendedahkan, Presiden Bersatu itu mendakwa telah membincangkan perkara itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang bersetuju menyokongnya.
“Saya beritahu dia (Muhyiddin) jika kamu mempunyai nombor, kamu teruskan, saya tidak akan mengikut kamu,” katanya kepada orang ramai di Libaran, Sabah semalam.
Sementara itu Mohd Shafie berkata gabungan antara parti yang berlaku sekarang tidak menjanjikan kestabilan dan membawa ke arah krisis kepimpinan.
“Gabungan ini bertukar setiap masa, mereka tikam sana sini dan parti berharap keadaan menjadi normal.
“(Sekarang) Zuraida (Datuk Zuraida Kamaruddin) menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Adakah ini kerana Bersatu tidak lagi bersatu dan adakah PBM lagi bersatu daripada Bersatu?,” katanya. – Malaysiapost

