PENGERUSI Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan desas-desus mendakwa kepimpinan Umno negeri berkenaan bakal bertukar dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara itu, berkata tiada isu yang timbul berkaitan kepimpinan Umno negeri ketika ini.
“Tiada isu. Tak ada isu pun. Sehingga hari ini parti berada dalam keadaan yang terbaiklah,” katanya.
Pergolakkan Umno Melaka mula tercetus selepas ada pihak didakwa cuba melaga-lagakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dengan Ab Rauf.
Susulan spekulasi yang timbul itu, Pemangku Ketua Umno Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman mencadangkan Sulaiman segera dilantik sebagai Pengerusi Umno Melaka dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang baharu menggantikan Ab Rauf.
Cadangan itu disuarakan Rospandi yang mahu jawatan itu digantikan dengan Sulaiman, susulan timbul spekulasi gerakan menyingkirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu, baru-baru ini.
Sementara itu, Ab Rauf yang juga EXCO Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri menganggap khabar angin yang timbul sebagai sebahagian daripada asam garam dunia politik.
“Saya tak anggap benda (khabar angin) tu sebagai satu ancaman kepada kedudukan Umno negeri pun. Masing-masing boleh meluahkan perasaan masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

