Takut beritahu polis mulut Bella disumbat kain – Saksi

0
1

SAKSI pendakwaan, Yasmin Nahar Mahmood, memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, bahawa beliau tidak menceritakan kepada polis mengenai kain disumbat pada mulut remaja Sindrom Down dikenali sebagai Bella, kerana takut dimarahi pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Yasmin, 19, yang juga penghuni rumah kebajikan itu memaklumkan sedemikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, berhubung perkara terbabit, lapor Berita Harian.

Saksi kelima pendakwaan itu berkata, beliau tidak menceritakan kepada polis ketika siasatan, kerana takut Siti Bainun mengetahui perkara berkenaan dan memarahinya.

“Sebab (Siti) Bainun sudah bagi arahan jangan beritahu apa-apa. Kalau saya cerita, saya takut nanti (Siti) Bainun marah. Waktu itu, saya tidak percaya pihak mana-mana pun,” katanya.

Selain tidak menceritakan kejadian, Yasmin berkata, beliau juga tidak menunjukkan kain itu kepada polis berikutan ia sudah dibuang kerana berbau.

Dalam prosiding pada 21 April lalu, saksi ketujuh pendakwaan memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa pihaknya tidak mengambil lapan gambar bahan bukti bagi kes Bella, antaranya cawan Ikea dan Starbucks, batang penyodok, besi penyangkut langsir, tali rafia, kain perca pengikat mulut serta dua jenis cecair pelembut pakaian.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, antara Februari dan Jun 2021.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Yasmin tidak bersetuju dengan cadangan peguam, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, bahawa kejadian mengikat dan tidak mahu memberi air kepada Bella dilakukan olehnya.

Saksi itu turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa kenyataannya direka bertujuan untuk memastikan Siti Bainun dipenjarakan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here