TIMBALAN Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli berkata, beliau akan bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan mengenai persediaan PKR menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan kadar segera.
Beliau berkata, perkara itu perlu kerana menjangkakan PRU15 akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi.
“PKR akan kembali kuat apabila keseluruhan anggota dari akar umbi ke Presiden bergerak dengan satu strategi dan masing-masing melaksanakan tugasan kita dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Rafizi berkata, adalah tidak adil sekiranya rakyat dipaksa untuk memilih parti itu dan Pakatan Harapan (PH) hanya kerana tiada pilihan lain.
Sebaliknya beliau berkata, rakyat lebih arif mengenai kegagalan sistem dan masalah struktur yang ada di negara ini kerana mereka berdepan dengan kegagalan yang dibebankan kepada mereka setiap hari.
“Rakyat tahu bahawa Umno/Barisan Nasional (BN) bergelumang dengan rekod rasuah yang telah menyebabkan kepincangan yang membebankan rakyat sekarang.
“Rakyat juga tahu bahawa Bersatu/ Perikatan Nasional (PN) hanyalah pakatan politik yang mengejar kuasa tanpa pembezaan ketara dari Umno/ Barisan Nasional.
“Namun, adalah tidak adil sekiranya rakyat dipaksa untuk memilih, Keadilan/ Pakatan Harapan (PH) hanya kerana pilihan-pilihan lain itu lebih teruk” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rafizi yang berjaya memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti itu menjelaskan, realiti kehendak pengundi kini sudah berubah.
Katanya, ia bukan lagi soal PKR dan PH dilihat lebih bersih (secara relatif) berbanding BN dan PN, malah perlu lebih cerdik dan cekap sebagai pentadbir dan bakal menteri.
“Sebagai rakyat biasa juga, saya percaya rakyat mahukan idea penyelesaian yang ditampilkan oleh barisan pentadbir dari kalangan ahli politik yang ada wawasan.
“Tidak cukup untuk pimpinan Keadilan/ Pakatan Harapan faham masalah secara mendalam dan berjaya mengutarakan penyelesaian, rakyat juga mahu melihat barisan bakal menteri yang diyakini mampu melaksanakan penyelesaian-penyelesaian itu,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Pandan berkenaan mengucapkan terima kasih kepada ahli PKR yang memahami dan percaya terhadap idea yang diperjuangkannya dalam pemilihan PKR kali ini.
“Sejak dari awal, saya nyatakan bahawa sebagai parti yang ingin terus mempengaruhi perubahan politik negara, kita mesti yakin dengan kebijaksanaan rakyat.
“Jika kita gagal meyakinkan rakyat kali ini, maknanya usaha kita masih tempang dan belum cukup baik, bukannya rakyat yang tidak cerdik. Kita perlu kekal di landasan idea yang menghormati kebijaksanaan rakyat sehinggalah mereka yakin dengan idea dan keupayaan kita.
“Itu hanya akan berlaku jika kita menjadi sebuah parti yang lebih pintar, lebih agresif, lebih lincah, lebih cekap dan dibarisi pimpinan yang lebih muda dan bermutu.
“Saya terterima kasih kerana hampir keseluruhan anggota akar umbi Keadilan bersetuju dengan pendirian saya itu selain mempamerkan kematangan melalui pemilihan kali ini,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada persaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang telah menghubunginya lebih awal sebelum keputusan tidak rasmi keluar.
“Kami telah bersama-sama membina parti ini sejak 1998, bodohlah mereka yang beranggapan perbezaan pendapat kami sebelum ini boleh memutuskan keikhlasan dan kesetiaan kami kepada Keadilan,” katanya. – Malaysiapost

